Cheguman menulis lagi...

'Faedah Membaca'

Thursday, February 18, 2010


Jika anda diberi tajuk seperti di atas, bagaimanakah anda akan huraikannya?

Hari ini guru-guru BM tidak pulang walaupun loceng akhir 1.35pm telah berbunyi. Kami menghadiri taklimat atau kursus dalaman tentang format pemarkahan BM.

Penceramah yang juga GPK kami telah berkongsi pengalaman beliau menanda kertas UPSR. Pernah sekali beliau menemui sebuah karangan bertajuk 'Faedah Membaca' seperti berikut:

"Faedah seorang budak yang baik. Faedah suka membaca buku. Di rumah Faedah terdapat banyak buku. Faedah juga sering ke perpustakaan untuk meminjam buku. Saya suka berkawan dengan Faedah."

Ternyata murid tersebut sudah keliru dengan maksud soalan yang diberikan.

Apa pendapat anda?

Yang jelas, pihak lembaga peperiksaan menolak jawapan tersebut. Bagi mereka murid tersebut gagal memahami kehendak soalan.

Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan pendirian lembaga peperiksaan. Bagi saya pembuat soalan telah gagal menyampaikan kehendaknya pada khalayak. Justeru kesalahan harus juga dipertanggungjawab kepada badan tersebut.

Seperkara lagi, tindakan menolak jawapan tersebut seolah menyekat kreativiti pelajar. Hal ini bertentangan dengan konsep pembelajaran bestari yang memberi penekanan pada pemikirann kritis dan kreatif (KBKK).

Apabila saya ajukan kepada penceramah tersebut pendapat saya ini, beliau mengatakan bahawa mereka telah kemukakan tetapi lembaga peperiksaan tetap dengan pendirian mereka.

Saya melihat bahawa pertembungan dua badan dalam pendidikan tersebut merupakan sebuah kemalangan, kalaupun bukan peperangan antara dua gergasi. Ibarat gajah sama gajah berjuang kancil mati di tengah-tengah.

Yang di tengah-tengah itulah anak kita!

Read more...

salah orang, salahkan orang

Monday, February 8, 2010




Seperti biasa, ketika saya tiba di kelas 4D, suasana agak bising. Beberapa murid sedang berkeliaran sehingga di luar kelas. Biarpun dinding kelas telah dikemas rapi dan diihias cantik oleh guru kelas namun sampah sarap bertaburan di sana sini.

Cuma keadaan lebih terkawal berbanding di awal persekolahan, iaitu pada bulan Januari. Maksud saya dari segi kenakalan.

Saya melakukan sedikit set induksi bagi menarik perhatian mereka sebelum memulakan isi pelajaran. Nampaknya semua berasa seronok dan saya memulakan pelajaran.

Tiba-tiba Hafizudin yang berada di depan membuka sebotol air dan meneguknya di depan saya. Perbuatannya cuba dihalang oleh rakannya yang berada di meja belakang. Melihat itu saya terpaksa campur tangan.

Rupa-rupanya air tersebut kepunyaan murid tersebut. Hafizudin mengambilnya tanpa keizinan.

Setelah menasihati Hafizudin, saya meneruskan pengajaran. Dalam pada itupun saya sempat memerhatikan beberapa murid yang bermain dengan pemadam dan berbual bersama rakan. Terdapat juga murid yang mengganggu rakan di sebelahnya.

Kerana sudah keterlaluan, maka saya memberhentikan pengajaran dan menegur perbuatan murid berkenaan.

"Dia pun main, Cikgu." kata seorang murid.

"Cikgu, Rizal berbual!" seseorang yang lain pula mengadu.

Nampaknya ada dua sikap negatif yang membelengu mereka, fikir saya. Pertama, mereka tidak tahu menghormati guru dan hak orang. Kedua mereka amat mudah menyalahkan orang lain dan lebih suka melihat kesalahan orang lain.

Dua elemen negatif tersebut perlu disingkir sehabis mungkin. Jika tidak, sampai bila-bilapun mereka akan gagal.

Read more...

nakal, bukan bodoh

Thursday, January 7, 2010



"Siapa anak tunggal?" saya bertanya secara rawak.

"Anak tunggal tu apa?" Adam bertanya.

"Anak yang paling last," jawab seseorang.

Saya tersenyum. Setelah beberapa minit pelbagai jawapan diberi tetapi tiada satupun yang menepati soalan. Maka saya berikan jawapan dan saya terangkan juga pada mereka susunan adik beradik daripada sulung ke bungsu.

Sebenarnya itu hanya set induksi dan saya ingin mengajar mereka tentang ayat tunggal dan ayat majmuk.

Sebagai analogi saya bersoal jawab tentang solat jamak yang mempunyai konsep hampir sama dengan ayat majmuk. Nampaknya beberapa orang daripada mereka mempunyai pengetahuan yang baik mengenai solat jamak dan qasar.

Sebelum itu saya lihat dua murid lelaki yang berada di belakang sekali tidak memberikan perhatian. Maka saya memanggil mereka berdua membawa kerusi masing-masing dan duduk di depan.

"Diorang memang nakal.," kata seseorang.

"Ye ke?" saya bertanya. "Atau, 'kata dulang paku serpih'? saya menambah.

Sayangnya mereka langsung tidak faham sindiran tersebut. Terpaksalah aku menerangkan maksud pantun dua kerat itu.

Berbalik pada budak berdua itu, saya menanya nama mereka. Seorang bernama Irwan dan seorang lagi Haiqal. Mereka berdualah yang banyak menjawab tentang solat jama' dan Qasar tadi.

Alhamdulillah. Rupanya mereka kurang diberi perhatian kerana jauh dari guru. Tugas guru adalah mencungkil potensi diri pelajar dan meningkatkan 'self esteem' mereka.


Read more...

dah lancar membaca

Wednesday, January 6, 2010



Di hujung bangunan itulah kelas 4 Arif.

Hari ini saya membantu mereka mengenal Kata Nama Khas dan membezakannya daripada Kata Nama Am.

Saya meminta beberapa orang membaca dengan kuat sebuah karangan. Kemudian meminta mereka menggariskan perkataan yang merupakan Kata Nama Khas dalam karangan tersebut.

Walaupun dalam kelas ke-4 namun pembacaan 4 orang murid lelaki dan 4 orang murid perempuan tadi sudah lancar.

Cuma murid perempuan agak malu-malu dan perlu digesa untuk membaca dengan lebih kuat.

Read more...

hari yang padat

Tuesday, January 5, 2010


Kelas pertama saya pagi ini letaknya di bangunan sementara di tepi padang. Seronok melayan murid Tahun 2G menyanyi sambil bermain gitar. Sebahagian daripadanya ialah murid saya di prasekolah dulu.

Selepas 60 minit, saya bergegas ke tingkat 4 pula sambil mengelek gitar. Sejam kemudian saya turun ke padang untuk Pendidikan Jasmani. Mengah jugak.

Sepatutnya saya mengajar murid perempuan kelas 4A dan 5A serentak. Seorang lagi guru mengambil murid lelaki 4A dan 5A.

Namun setelah 20 minit berlalu, masih belum nampak seorangpun batang hidung murid 4A. Pengajaran untuk kelas 5A tetap saya teruskan.

Kira-kira 5 minit sebelum waktu tamat, kelihatan murid-murid 4A termengah-mengah berlari. Rupa-rupanya guru yang mengajar waktu itu terlajak masa.

Mahu tidak mahu saya mendaki lagi anak tangga ke tingkat empat untuk kelas Pendidikan Kesihatan. Setelah selesai, turun pula ke kantin untuk minum. Masa yang ada cuma 30 minit.

Selepas rehat, naik ke tingkat empat untuk mengajar BM Tahun 4A selama sejam. Kemudian bergegas ke kelas 5A untu Kajian Tempatan pula.

Dalam keadaan terkejar-kejar itu saya terfikir, kenapalah waktu PJ hanya diperuntukkan 30 minit sahaja? Sedangkan murid perlu menukar pakaian dan perlu bergerak dari kelas ke padang. Kemudian bergerak balik ke kelas selepas menyalin pakaian semula.

Berapa minit yang tinggal untuk pengajaran PJ?

Seperkara lagi yang saya fikirkan ialah guru dan murid perlu dimaklumkan bahawa waktu pertukaran 10 minit diberikan untuk perjalanan dan lain-lain.

Sehingga waktu saya menulis ni, saya belum sempat lagi ke tandas.

Read more...

muridku di ambang bahaya

Monday, January 4, 2010


Ini Asnawi. Ketua kelas yang baru dipilih oleh rakan-rakannya setelah melalui dua pusingan pemilihan. Dalam pusingan pertama beliau cuma dapat 4 undi, sama dengan seorang lagi calon.

Walaupun terdapat 5 orang yang menawarkan diri sebagai ketua kelas namun masing-masing cuma mendapat 3 atau 2 undi sahaja. Malah ada calon yang gagal mendapat sebarang undi.

Maka dua calon tersebut bertanding sekali lagi. Pada peringkat akhir tersebut terpaksalah aku berkempen sambil memberi amaran akan menghukum mana-mana ahli kelas yang enggan mengundi.

Akhirnya Asnawi menang dengan majoriti yang besar.

Nampaknya sikap tidak mahu mengundi tersebut sama sahaja dengan proses pengundian dalam pilihanraya umum atau kecil di peringkat nasional. Ramai rakyat yang bukan sahaja tidak mahu mengundi malah masih ramai yang tidak pun mendaftar.

Oh ya. Cuba lihat di belakang Asnawi. Nampak tak jendela yang terpelohong tanpa cermin hampir 5 kaki itu? Adakah anda nampak palang besi sebagaimana lazimnya jendela kaca di rumah? Tentulah tidak nampak sebab memang tidak ada sebarang besi atau jaring di situ. Malah semua tingkap tidak dipasangkan besi atau jaring!

Lihat bumbung bangunan sebelah. Itu adalah bangunan 3 tingkat. Bermakna, kelas ini berada di tingkat empat.

Tak dapat saya bayangkan jika budak-budak itu bergurau dan terdorong ke lubang tersebut. Kalau ada cermin pun masih dikira bahaya. Apalah sangat dengan tingkap kaca yang nipis itu. Dibaling dengan seliparpun boleh pecah berkecai.

Nauzubillah.

Tanggungjawab guru kelas jugak tu.

Read more...

Hari pertama 4 Arif 2010

Sunday, January 3, 2010


Boleh tahan juga budak-budak ni nampaknya. Ada yang berani, ada yang malu-malu dan ada yang ragu-ragu.

4 Arif adalah kelas keempat daripada 5 kelas. Persepsi awal tentulah agak negatif. Namun aku jadikan satu cabaran.

"Siapa dah boleh membaca?" saya tebarkan soalan rawak. Sekadar menguji.

Hampir semua mengangkat tangan. Biarkan.

"Esok kita akan buat ujian ringkas." Saya mengumumkan.

Ya. Esok saya akan tahu kemahiran sedia ada mereka.

Sementara itu kulihat keliling kelas. Hancus! Lihatlah 'softboard' di belakang tu. Koyak rabak. Di depan pun sama.

Nampaknya itu pun kena dikerjakan dulu!

Read more...

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP