'Faedah Membaca'
Thursday, February 18, 2010
Jika anda diberi tajuk seperti di atas, bagaimanakah anda akan huraikannya?
Hari ini guru-guru BM tidak pulang walaupun loceng akhir 1.35pm telah berbunyi. Kami menghadiri taklimat atau kursus dalaman tentang format pemarkahan BM.
Penceramah yang juga GPK kami telah berkongsi pengalaman beliau menanda kertas UPSR. Pernah sekali beliau menemui sebuah karangan bertajuk 'Faedah Membaca' seperti berikut:
"Faedah seorang budak yang baik. Faedah suka membaca buku. Di rumah Faedah terdapat banyak buku. Faedah juga sering ke perpustakaan untuk meminjam buku. Saya suka berkawan dengan Faedah."
Ternyata murid tersebut sudah keliru dengan maksud soalan yang diberikan.
Apa pendapat anda?
Yang jelas, pihak lembaga peperiksaan menolak jawapan tersebut. Bagi mereka murid tersebut gagal memahami kehendak soalan.
Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan pendirian lembaga peperiksaan. Bagi saya pembuat soalan telah gagal menyampaikan kehendaknya pada khalayak. Justeru kesalahan harus juga dipertanggungjawab kepada badan tersebut.
Seperkara lagi, tindakan menolak jawapan tersebut seolah menyekat kreativiti pelajar. Hal ini bertentangan dengan konsep pembelajaran bestari yang memberi penekanan pada pemikirann kritis dan kreatif (KBKK).
Apabila saya ajukan kepada penceramah tersebut pendapat saya ini, beliau mengatakan bahawa mereka telah kemukakan tetapi lembaga peperiksaan tetap dengan pendirian mereka.
Saya melihat bahawa pertembungan dua badan dalam pendidikan tersebut merupakan sebuah kemalangan, kalaupun bukan peperangan antara dua gergasi. Ibarat gajah sama gajah berjuang kancil mati di tengah-tengah.
Yang di tengah-tengah itulah anak kita!